Hati Tidak Tenang

Sejak kebelakangan ini hati aku tidak tenang. Terasa kosong dan ada kalanya aku tertanya-tanya apakah fungsi sebenar aku dilahirkan ke dunia ini. Ya aku punya isu dengan diri aku sendiri. Aku bukan gila atau punya masalah kemurungan. Cuma aku rasa kosong tanpa ‘isi’. Aku rasa inilah yang dinamakan ‘penyakit hati’.

Aku tahu dan aku sedar yang aku bukanlah seperti orang-orang lain yang begitu dekat dengan tuhan dan mengikut segala perintahNya. Aku jauh daripada itu semua dan aku rasa takut bila membaca perihal-perihal hidup dan seksaan selepas hidup di dunia ini. Apa akan jadi kepadaku di saat sakratul maut datang menjengah? Apakah yang akan diperlihatkan kepadaku bila nyawa tinggal di paras kerongkong? Adakah syurga ataupun neraka?

Kehidupan aku sekarang boleh dikatakan selesa. Aku cukup serba serbi. Cuma kalau nak hidup mewah tu mungkin tidak. Kira sederhana. Aku agak susah untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Aku malas untuk sembahyang dan tidak melakukan suruhannya. Aku lebih kepada keseronokan dunia yang aku sendiri tahu ianya adalah sementara dan penuh dengan tipu helah syaitan. Namun aku ikuti juga kata hati dan terus-menerus melakukan pengabdian kepada kehidupan duniawi tanpa memikirkan akan tuntutan Dia Sang Pencipta. Ke manakah hala tuju aku? Apakah nasib aku nanti?

Tidak aku nafi yang ketakutan sekali-sekala datang. Aku takut tidak sempat bertaubat. Aku takut akan seksaan di hari akhirat kelak. Aku takut aku tidak bernyawa dalam masa terdekat. Aku tidak bersedia. Aku tidak punya bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak. Hari pembalasan di mana setiap perkara walau sebesar zarah akan ditimbang dan dikira. Ya Allah. Apakah yang telah aku lakukan di dunia ini.

Ya Tuhan tunjukkanlah aku jalan yang benar dan tingkatkanlah imanku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *